jump to navigation

Merong Mahawangsa:Dari Manuskrip ke sebuah filem Mac 12, 2011

Posted by kamarul in Filem.
2 comments

Hikayat Merong Mahawangsa,sebuah naskah tertua yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai khazanah bernilai negara kini diadaptasi ke sebuah filem.Syabas kepada trio adik-beradik KRU yang berusaha untuk merealisasikannya sebagai sebuah filem.Bukan mudah untuk mengangkat naskah agung yang sarat dengan mitos dan sakral menjadi sebuah filem yang bernilai komersial.Tetapi itu adalah usaha paling berani selepas Puteri Gunung Ledang.Agak teruja menantikan filem epik ini.Apa tidaknya,trailer serta komen-komen positif oleh media sebelum tayangan menguatkan rasa ghairah untuk melihat filem epik ini.

Hikayat Merong Mahawangsa di tangan Yusry Abd Halim bersama Hafizi Amir bolehlah dikatakan sebagai rumusan atau kependekan kepada naskah agung tersebut.Mana mungkin untuk membuat kisah tersebut seperti tercatat pada naskah yang berjela-jela dan sarat dengan kisah-kisah rajanya.Namun,aspek lakon layar kurang diberi perhatian.Watak Merong Mahawangsa agak kaku.Sebagai watak utama yang diangkat,sewajarnya diangkat dengan baik dari sudut perwatakannya.Stephen Rahman Hughes agak kaku.Ada masanya,seolah-olah melihat dia seperti Jeneral Maximus dalam filem Gladiator.Watak Merong Mahawangsa tidak dilukiskan dengan baik oleh Yusry dan Hafizi.Hakikatnya,Merong Mahawangsa punya peranan besar dalam pengasasan negeri Kedah sekitar abad ke 6.

Sebagai Putera Raja berdarah Iskandar Zulkarnaian,Raja agung dalam sejarah dunia,Merong digambarkan sebagai penggembara yang tiada tujuan.Sentiasa berada di pelabuhan-pelabuhan terkenal pada waktu itu.Sentiasa ditangkap kerana melakukan kesalahan.Mungkin mengusik atau bermukah dengan golongan bangsawan.Agak menghairankan kita bila putera raja berdarah penakluk agung dunia digambarkan sedemikian.banyak caranya untuk menunjukkan keperwiraan Merong.Mungkin penulis skrip cuba menunjukkan perkembangan watak.Kita boleh katakan from zero to hero.Tapi saya rasakan kaedah itu tidak sesuai kepada Merong kerana dia memang telah dikenali sebagai keturunan Raja yang besar.Kisah hidupnya juga agak kabur.Dalam adegan ketika perjalanan ke Langkasuka untuk bertemu puteri China,dia menyatakan bahawa dia berasal dari Tanah Melayu daripada sebelah ibunya iaitu Lang.Dia juga tidak mengetahui kisah semasa kecil sedangkan selepas itu,ditunjukkan adegan imbas kembali semasa kecilnya.Jalan ceritanya agak lompong.Sewajarnya kekosongan ini ditampung dengan baik.

Kalau diberi pilihan,saya berasakan bahawa isi dan jalan cerita Puteri Gunung Ledang lebih baik.Mungkin kerana terlalu memikirkan komersial.Yusry dan hafizi terlupa tentang jalan cerita.bagi saya Merong Mahawangsa mungkin boleh menjadi lebih baik daripada Puteri gunung Ledang,seandainya digarap dengan baik.Dari sudut nilai Melayu,saya rasakan ia tidak ada.terasa seperti melihat filem Melayu yang bercitarasa Thailand.Banyak yang ingin diperkatakan di sini.Tapi cukuplah sampai sini.Saya bukanlah pembikin filem mahupun drama.Cuma menyampaikan pandangan ikhlas.

Hikayat Merong Mahawangsa adalah naskah yang mencerminkan budaya,adat dan sejarah orang Melayu sebelum kedatangan islam.Sewajarnya,Hikayat Merong Mahawangsa diangkat dan digarap dengan nilai-nilai Melayu.Kita jarang mendapat peluang untuk membikin filem sebegini.Harus diingat filem sebegini adalah satu medium catatan sejarah terbaik selepas buku-buku.Jadi,ia harus selari dengan sejarah.Kiranya terpesong,tidaklah harus melampau.Kita harus berfikir bahawa 100 tahun dari sekarang,filem-filem sebegini akan menjadi rujukan kepada generasi akan datang dalam mengetahui asal-usul bangsa.

Apa pun,syabas buat KRU yang berani dan cekal dalam mengangkat Hikayat ini.Semoga bakal ada lagi mereka yang akan berani selepas ini.

Jogho=Juara Oktober 16, 2006

Posted by kamarul in Filem.
11 comments

Filem Jogho Pernahkah anda melihat pertandingan laga lembu di Malaysia?Memang perlagaan lembu adalah haram di sisi undang-undang Malaysia.Tetapi, jika anda ingin juga merasai sendiri pengalaman bagaimana lembu-lembu diadukan secara kejam, boleh lah berkunjung ke selatan Thailand.Di sini tradisi perlagaan Lembu masih lagi wujud dan ia menjadi suatu aktiviti riadah serta hiburan bagi warga Thailand di sana.Namun, apa yang ingin dibincangkan juga adalah berkaitan dengan laga lembu,dan simboliknya kepada kehidupan masyarakat Melayu.

Filem Jogho diangkat ke layar perak oleh pengarah tersohor U-Wei Haji Shaari di adaptasikan dari Novel Juara karya S.Othman Kelantan.

Sinopsis: Mamat (Khalid Salleh) terkenal kerana kehandalannya mengadukan lembu.Mamat sebenarnya adalah seorang pemain politik.Politikus yang kalah dalam pilihanraya di sebuah daerah di Kelantan.Lalu, membina hidup yang baru bersama-sama keluarganya di selatan Thailand.Saat itu, bermulalah era baru dalam dunia Mamat.Dunia laga lembu.Pada suatu hari, kawan baiknya, Mat Lazim telah mati ditembak setelah pulang menyertai suatu pertandingan laga lembu.Mamat berazam untuk mencari dan menuntut bela di atas kematian kawan baiknya itu.

Komen:Khalid Salleh sememangnya seorang pelakon yang berkarisma.Berikanlah watak apa pun, pasti dia mampu melakonkannya dengan begitu baik.Lakonan mantapnya menghidupkan filem ini.Lakonannya benar-benar hidup.Watak Mamat sebagai seorang ketua keluarga, Ketua kepada kumpulannya dalam usaha menjejaki pembunuh Abang Lazim benar-benar dihayati.Ekspresi menerusi dialog, mimik muka menambahkan lagi karisma Khalid sebagai pelakon berbakat besar.Dari segi bahasa, filem ini memerlukan penghayatan kerana loghat Kelantan yang digunakan agak pekat bercampur aduk bersama dialek Patani.Menerusi filem ini, U-Wei cuba menyampaikan mesej bahawa para politikus yang berada dalam dunia politik sama seperti dua ekor lembu yang berlaga sesama sendiri demi mendapatkan keuntungan yang tak seberapa.Jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain.Itu adalah lumrah dalam dunia politik.Politikus juga digambarkan seperti lembu yang boleh dicucuk-cucuk hidungnya dan membiarkan sahaja diri mereka di guna dan menggunakan sesama sendiri demi kepentingan masing-masing.Lewat cerita, kita akan mengetahui siapa Jogho atau juara.Siapakah juara itu?Jogho adalah sebuah filem artistik.Filem yang benar-benar membuka minda kita menelusi falsafah politik dan kehidupan.Menggunakan watak lembu yang diadu, ia membuka ruang untuk penonton berfikir tentang kehidupan.Memetik kata Afdlin Shauki “Filem bukan sekadar medium untuk berhibur tetapi juga berfungsi sebagai alat untuk mendidik masyarakat”.Mungkin penonton kita bukanlah penonton yang sentiasa berfikir, tetapi sesekali meluangkan masa melihat filem sebegini akan membuatkan kita berfikir kembali tentang hidup yang kita jalani ini.Siapa tahu kan??

Something about Marry Ogos 23, 2006

Posted by kamarul in Filem, Uncategorized.
3 comments

33m1.jpg 

Filem :Something About Marry

Pelakon : Cameron Diaz (Marry),Ben Stiller (Ted Shoermann), Matt Dillon (Pat Heally)

Durasi :1 Jam 30 Minit.

Genre : Komedi Romantik

Sinopsis : Ted mengimbas kembali zaman persekolahannya 12 tahun yang lampau, di mana dia mengenali cinta pandang pertama dengan seorang gadis yang bernama Marry.Marry, gadis idaman pelajar-pelajar di Sekolah Tinggi Rhodes Island kerana kecantikan, kepintarannya.Ibarat Mutiara, Marry di anggap sempurna bagi kebanyakkan lelaki di sekolahnya.Tambahan pula Majlis prom bagi pelajar-pelajar tahun akhir bakal menjelang tiba.Ted berharap agar Marry dapat menjadi temannya di majlis itu nanti.Nasibnya baik,Marry mempelawa Ted sebagai pasangannya di majlis Prom.Namun,langit tak selalunya cerah.Ted terpaksa bermalam di wad akibat suatu insiden dan sekaligus melupakkan impiannya menemani Marry ke majlis Prom.Paling meremukkan hati Ted, Marry sekeluarga berpindah ke Miami.Selepas 12 tahun,Ted percaya cinta sejatinya adalah Marry.Persoalannya,adakah Marry punyai rasa cinta yang sama kepada Ted??Atau apakah waktu menjadi penghadang di antara mereka berdua??Dengan bantuan Pat Heally, seorang penyiasat Persendirian,Ted menjejaki Marry di Miami.Konflik timbul apabila Pat juga jatuh cinta dengan Marry.Pelbagai aksi lucu di persembahkan dalam filem ini yang pasti menggeletek hati.Hasil kerja Farells adik-beradik  yang terkenal menerusi filem ‘Dumb and Dumber’ yang pasti akan membuatkan kita tidak kering gusi.