jump to navigation

Extreme – More Than Words Oktober 19, 2006

Posted by kamarul in Uncategorized.
2 comments

Extreme – More Than Words

[grouper=mtg/mtgPlayer.swf?gvars=vurl~http%3a%2f%2fgrouper.com%2frss%2fflv.ashx%3fid%3d700092_rf%7e939787_vfver~8_ap~1_extid~-1;321;265]

View on Grouper.com Add to WordPress Blog

Love Song
Add a video comment to this video

Advertisements

shrek 2 Oktober 19, 2006

Posted by kamarul in Uncategorized.
add a comment

shrek 2

[grouper=mtg/mtgPlayer.swf?gvars=vurl~http%3a%2f%2fgrouper.com%2frss%2fflv.ashx%3fid%3d691837_rf%7e939773_vfver~8_ap~1_extid~-1;321;265]

View on Grouper.com Add to WordPress Blog

Lagu favourite aku
Add a video comment to this video

Syeikh Nuruddin Ar-Raniri. Oktober 17, 2006

Posted by kamarul in sastera melayu.
add a comment

 

Syeikh Nuruddin ar-Raniri Ulama ahli debat

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

http://www.waqaf.net/authors/wms/nuruddin_ar-raniri.htm

PADA mukadimah dan penutup tentang Syeikh Hamzah al-Fansuri keluaran yang lalu, telah saya singgung gambar imaginasi. Dalam artikel ini disiarkan gambar imaginasi Syeikh Nuruddin ar- Raniri yang juga tiada siapa yang tahu penciptanya, seperti Syeikh Hamzah al-Fansuri juga. Sebagaimana Syeikh Hamzah al-Fansuri, nama Syeikh Nuruddin ar-Raniri cukup banyak mendapat perhatian dan ditulis orang. Jauh sebelum kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri ke Aceh, pada masa pemerintahan Sultan Husein (pengganti Sultan sebelumnya), yang mangkat tahun 975 H/1567 M, di Aceh telah ada seorang ulama yang digelar Syeikh Nuruddin. Mengenainya disebut dalam Hikayat Aceh.

Perlu dibezakan, apabila kita menulis nama lengkap Syeikh Nuruddin ar-Raniri dengan nama ayah saudaranya yang pernah datang ke Aceh. Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang diriwayatkan ini nama lengkapnya berdasarkan kepada karya-karyanya ialah Syeikh Nuruddin Muhammad ibnu ‘Ali ibnu Hasanji ibnu Muhammad Hamid ar-Raniri al-Quraisyi. Syeikh Nuruddin ar-Raniri walau pun berasal daripada keturunan Arab di India dari pihak ayahnya dan bangsa Melayu dari sebelah ibu, namun beliau lama tinggal di Pahang dan Aceh, dan banyak mengarang kitab-kitab dalam bahasa Melayu. Sebahagian besar karangannya ditujukan membantah fahaman ‘Wahdatul Wujud’ yang diajarkan oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i.

Banyak perkara menarik mengenai ulama ini, di antaranya kitab fikah dalam bahasa Melayu yang pertama sekali berjudul ash-Shirath al-Mustaqim adalah karya beliau. Demikian juga mengenai kitab hadis yang berjudul al-Fawaid al-Bahiyah fi al-Ahadits an-Nabawiyah atau judul lainnya Hidaya al-Habib fi at-Targhib wa at-Tarhib, adalah kitab membicarkan hadis yang pertama sekali dalam bahasa Melayu.

Hampir semua penulis menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri dilahirkan di Ranir, berdekatan dengan Gujarat. Asal usul beliau ialah bangsa Arab keturunan Quraisy yang berpindah ke India. Tetapi salah seorang muridnya bernama Muhammad ‘Ali atau Manshur yang digelarkan dengan Megat Sati ibnu Amir Sulaiman ibnu Sa’id Ja’far Shadiq ibnu ‘Abdullah dalam karyanya Syarab al-‘Arifin li Ahli al-Washilin menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah “Raniri negerinya, Syafi’ie nama mazhabnya, Bakri bangsanya.”

Pendidikan asasnya dipercayai diperolehnya di tempat kelahirannya Raniri atau Rander. Raniri/Rander, sebahagian riwayat mengatakan berdekatan dengan Kota Surat, dan riwayat lain mengatakan dekat Bikanir, kedua-duanya di negeri India. Syeikh Nuruddin ar-Raniri berhasil berangkat ke Mekah dan Madinah dalam tahun 1030 H/1621 M dan di sana beliau sempat belajar kepada Syeikh Abu Hafash ‘Umar bin ‘Abdullah Ba Syaiban atau nama lain ulama ini ialah Saiyid ‘Umar al-‘Aidrus. Kepada ulama ini beliau mengambil bai’ah Thariqat Rifa’iyah. Dalam sektor Thariqat Rifa’iyah itu syeikh yang tersebut adalah murid kepada Syeikh Muhammad al-‘Aidrus. Selain Thariqat Rifa’iyah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri juga pengamal Thariqat Qadiriyah.

Kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri buat pertama kalinya ke Aceh diriwayatkan dalam tahun 1577 M, tetapi ada juga ahli sejarah mencatat bahawa beliau sampai di Aceh pada tahun 1637 M. Ini bererti setahun setelah mangkatnya Sultan Iskandar Muda (memerintah dari tahun 1606 M hingga 1636 M). Syeikh Nuruddin ar-Raniri seakan-akan kedatangan pembawa satu pendapat baru, yang asing dalam masyarakat Aceh. Setiap sesuatu yang baru selalu menjadi perhatian dan pengamatan orang, sama ada pihak kawan atau pun pihak lawan. Fahaman baru yang dibawa masuk oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu ialah fahaman anti atau penolakan tasawuf ajaran model Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Kedua-dua ajaran ulama sufi itu adalah sesat menurut pandangan beliau.

Syeikh Nuruddin ar-Raniri mendapat tempat pada hati Sultan Iskandar Tsani, yang walaupun sebenarnya pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda beliau tidak begitu diketahui oleh masyarakat luas.

Oleh sebab ketegasan dan keberaniannya ditambah lagi, Syeikh Nuruddin ar-Raniri menguasai berbagai-bagai bidang ilmu agama Islam, mengakibatkan beliau sangat cepat menonjol pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Tsani itu. Akhirnya Syeikh Nuruddin ar-Raniri naik ke puncak yang tertinggi dalam kerajaan Aceh, kerana beliau mendapat sokongan sepenuhnya daripada sultan. Beliau memang ahli dalam bidang ilmu Mantiq (Logika) dan ilmu Balaghah (Retorika). Dalam ilmu Fikah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah penganut Mazhab Syafie, walaupun beliau juga ahli dalam ajaran mazhab-mazhab yang lainnya. Dari segi akidah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah pengikut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jama’ah yang berasal daripada Syeikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Syeikh Abu Manshur al-Maturidi. Pegangannya dalam tasawuf ialah beliau adalah pengikut tasawuf yang mu’tabarah dan pengamal berbagai-bagai thariqah sufiyah. Tetapi suatu perkara yang aneh, dalam bidang tasawuf beliau menghentam habis-habisan Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Walau bagaimanapun Syeikh Nuruddin ar-Raniri tidak pernah menyalahkan, bahkan menyokong Syeikh Muhyuddin ibnu ‘Arabi, Abi Yazid al-Bistami, ‘Abdul Karim al-Jili, Abu Manshur Husein al-Hallaj dan lain-lain. Perkataan yang bercorak ‘syathahiyat’ yang keluar daripada ulama-ulama sufi yang tersebut itu tidak pernah beliau salahkan tetapi sebaliknya perkataan yang bercorak ‘syathahiyat’ yang berasal daripada Syeikh Hamzah al- Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i selalu ditafsirkan secara salah oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Di dalam karyanya Fath al-Mubin ‘ala al-Mulhidin, Syeikh Nuruddin ar-Raniri berpendapat bahawa al-Hallaj mati syahid. Katanya: “Dan Hallaj itu pun syahid fi sabilillah jua.” Padahal jika kita teliti, sebenarnya Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i itu pegangannya tidak ubah dengan al-Hallaj.

Ajaran Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i berpunca daripada ajaran Syeikh Muhyuddin ibnu ‘Arabi, Syeikh Abi Yazid al-Bistami, Syeikh ‘Abdul Karim al-Jili dalam satu sektor. Dan bahagian lain juga berpunca daripada ajaran Imam al-Ghazali, Syeikh Junaid al-Baghdadi dan lain-lain, adalah dipandang muktabar, sah dan betul menurut pandangan ahli tasawuf. Bahawa ajaran tasawuf telah berurat dan berakar di kalbi, bahkan telah mesra dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, dari kulit hingga daging, dari tulang hingga ke sumsum pencinta-pencintanya, yang tentu saja mereka mengadakan tentangan yang spontan terhadap Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Bahkan kepada siapa saja yang berani menyalah-nyalahkan pegangan mereka. Pengikut-pengikut Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i menganggap kedua-dua guru mereka adalah wali Allah, yang faham terhadap pengetahuan syariat, tarekat, haqiqat dan makrifat. Mereka beranggapan, walaupun diakui bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri sebagai seorang ulama besar, yang dikatakan juga telah mengetahui ilmu tasawuf, namun tasawuf yang diketahui oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu hanyalah tasawuf zahir belaka. Bahawa beliau hanyalah mengetahui kulit ilmu tasawuf, tetap tidak sampai kepada intipati tasawuf yang sebenar-benarnya. Bahawa beliau baru mempunyai ilmu lisan sebagai hujah belaka, tetapi belum mempunyai ilmu kalbi, yang dinamakan juga dengan ilmu yang bermanfaat. Oleh itu, wajiblah mereka membela guru mereka yang mereka sanjung tinggi itu.

Selama menetap di Pahang atau pun setelah beliau pindah ke Aceh, ramai penduduk yang berasal dari dunia Melayu belajar kepada ulama besar yang berasal dari India itu, namun sampai riwayat ini saya tulis, belum dijumpai tulisan yang menyenaraikan nama murid-murid Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Untuk memulakan penjejakan mengenainya di sini dapat saya perkenalkan hanya dua orang, iaitu: Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi/al-Maqasari al-Khalwati yang berasal dari Makasar/tanah Bugis. Tidak begitu jelas apakah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati ini belajar kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri sewaktu beliau masih di Aceh atau pun Syeikh Yusuf datang menemui Syeikh Nuruddin ar-Raniri di negerinya, India. Sementara pendapat lain menyebut bahawa Syeikh Yusuf Tajul Khalwati benar-benar dapat berguru kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri sewaktu masih di Aceh lagi, dan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati menerima bai’ah Tarekat Qadiriyah daripada Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Yang seorang lagi ialah Syeikh Muhammad ‘Ali, ulama ini berasal dari Aceh.

Ada yang berpendapat bahawa beliau meninggal dunia di India. Pendapat lain menyebut bahawa beliau meninggal dunia di Aceh. Ahmad Daudi, menulis: “Maka tiba-tiba dan tanpa sebab-sebab yang diketahui, Syeikh Nuruddin ar-Raniri meninggalkan Serambi Mekah ini, belayar kembali ke tanah tumpah darahnya yang tercinta, Ranir untuk selama-lamanya. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1054 H (1644 M).” Bahawa beliau meninggal dunia pada 22 Zulhijjah 1069 H/21 September 1658 M. Tetapi Karel A. Steenbrink dalam bukunya, Mencari Tuhan Dengan Kacamata Barat berpendapat lain, bahawa hingga tahun 1644 M bererti Syeikh Nuruddin masih berada di Aceh. Menurutnya terjadi diskusi yang terlalu tajam antara beberapa kelompok pemerintah: Seorang uskup agung (ar-Raniri) di satu pihak dan beberapa hulubalang dan seorang ulama dari Sumatera Barat di pihak lain. Pihak yang anti ar-Raniri akhirnya menang, sehingga ar-Raniri dengan tergesa-gesa kembali ke Gujarat. Tulisan Karel itu barangkali ada benarnya, kerana secara tidak langsung Syeikh Nuruddin mengaku pernah kalah berdebat dengan Saiful Rijal, penyokong fahaman Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i, perkara ini beliau ceritakan dalam kitab Fath al-Mubin.

Ada pun tempat meninggalnya, H.M. Zainuddin, berbeza pendapat dengan Ahmad Daudi di atas. Menurut Zainuddin dalam Tarich Atjeh Dan Nusantara, jilid 1, bahawa terjadi pertikaian di istana, dalam perebutan itu telah terbunuh seorang ulama, Faqih Hitam yang menentang tindakan Puteri Seri Alam. Dalam pada itu Syeikh Nuruddin diculik orang, kemudian mayatnya diketemukan di Kuala Aceh. Menurut H.M. Zainuddin pula, bahawa makam Syeikh Nuruddin itu dikenal dengan makam keramat Teungku Syiahdin (Syeikh Nuruddin ar-Raniri) terletak di Kuala Aceh.

Dalam masa pemerintahan Iskandar Muda, kerajaan Aceh maju, ajaran sufi tidak menghalang kemajuan yang berasaskan Islam. Sebaliknya masa pemerintahan Iskandar Tsani, ajaran sufi dianggap sesat, ternyata kerajaan Aceh mulai menurun. Bantahan terhadap sesuatu pegangan yang pernah berkembang di dunia Islam perlulah ditangani dengan penuh kebijaksanaan. Siapa saja yang memegang urusan keislaman janganlah tersalah penilaian, sering terjadi yang benar menjadi salah, atau sebaliknya yang salah menjadi benar.

Hamzah Fansuri:Ahli Sufi dan Pelopor Sastera Melayu Moden Oktober 17, 2006

Posted by kamarul in sastera melayu.
7 comments

SYEIKH Hamzah Fansuri ialah seorang ulama dan pujangga besar Melayu. Beliaulah penyair Melayu pertama yang menggubah syair-syair bersifat agama. Hamzah Fansuri dipercayai dilahirkan pada akhir abad ke-16 di Barus atau Panchor, Sumatera Utara. Panchor disebut Fansur dalam bahasa Arab. Pada tahun 1726, Francois Valentijn dalam bukunya Oud en Nieuw Oost-Indie (Hindia Timur Lama dan Baharu) pada bab mengenai Sumatera, menyebut Hamzah Fansuri sebagai seorang penyair yang dilahirkan di Fansur.

Karya-karya Hamzah Fansuri telah dikaji oleh para sarjana Timur dan Barat iaitu Kraemaer, Doorenbos, Al-Attas, Teeuw, Brakel, Sweeney, Braginsky dan Abdul Hadi.

Kajian al-Attas yang merupakan analisis semantik dianggap sebagai kajian yang paling menyeluruh dan hebat terhadap pegangan mistisisme Hamzah Fansuri.

Pada masa yang sama, kajian mereka ini telah memberikan penjelasan yang amat penting mengenai sumbangan Hamzah terhadap sastera Melayu.

Pemikiran dan pegangan Hamzah Fansuri terpancar dalam karya-karya beliau meliputi karya prosa dan puisi.

Hamzah adalah pengembang tarekat Wujudiyah. Gambaran tentang ajaran Wujudiyah ini dapat dikutip daripada karangan beliau Asrar al-Arifin dan Sharab al-Asyikin.

Fahaman ini beranggapan bahawa segala makhluk itu pada asasnya esa, kerana wujud daripada zat Allah.

Dalam hujahnya menerusi kitab-kitab ini, terkesan bahawa Hamzah terpengaruh dengan faham Ibn Arabi, ahli tasawuf yang masyhur pada akhir abad ke-12 dan awal abad ke-13.

Selain itu, Hamzah turut menyisipkan dalam karangannya kutipan-kutipan ahli tasawuf Parsi seperti al-Junaid, Mansor Hallaj, Jalaluddin Rumi, Abi Yazid Bistami, dan Shamsu Tabriz.

Karangan-karangan prosa Hamzah yang terpenting ialah Asrar al-Arifin (Rahsia Orang yang Bijaksana), Sharab al-Asyikin (Minuman Segala Orang yang Berahi) dan Zinat al-Muwahidin (Perhiasan Sekalian Orang yang Mengesakan).

Syair-syair beliau pula ialah Syair Si Burung Pingai, Syair Si Burung Pungguk, Syair Sidang Fakir, Syair Dagang dan Syair Perahu.

Melalui hasil karangannya, dijelaskan mengapa orang harus mencari Tuhan dan juga sebagai garis petunjuk untuk mencari Tuhan.

Syair-syair Hamzah sarat dengan estetika, ilmu dan falsafah diolah berdasarkan pengaruh pantun menampakkan bahawa Hamzah menguasai puisi Parsi bersifat tasawuf dan memupuk rasa cinta akan Allah.

Hamzahlah penyajak Melayu pertama yang menggunakan syair dalam tulisan agama.

Winstedt mengatakan cara pemikiran Hamzah sesuai dengan pemikiran yang terdapat dalam karangan-karangan ahli-ahli falsafah, pujangga dan pengarang-pengarang besar Barat seperti St. Augustino (354-430), John Lyly (1553-1606), Francis Bacon (1561-1662), John Milton (1608-1674), Sydney Smith (1771-1845) dan lain-lainnya.

Pengiktirafan tersebut mewajarkan Hamzah Fansuri diangkat sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden di alam Melayu.

Ihsan dari: Muhamad Ikhram Fadhly bin Hussin (Penulis)  http://dbp.gov.my

Jogho=Juara Oktober 16, 2006

Posted by kamarul in Filem.
11 comments

Filem Jogho Pernahkah anda melihat pertandingan laga lembu di Malaysia?Memang perlagaan lembu adalah haram di sisi undang-undang Malaysia.Tetapi, jika anda ingin juga merasai sendiri pengalaman bagaimana lembu-lembu diadukan secara kejam, boleh lah berkunjung ke selatan Thailand.Di sini tradisi perlagaan Lembu masih lagi wujud dan ia menjadi suatu aktiviti riadah serta hiburan bagi warga Thailand di sana.Namun, apa yang ingin dibincangkan juga adalah berkaitan dengan laga lembu,dan simboliknya kepada kehidupan masyarakat Melayu.

Filem Jogho diangkat ke layar perak oleh pengarah tersohor U-Wei Haji Shaari di adaptasikan dari Novel Juara karya S.Othman Kelantan.

Sinopsis: Mamat (Khalid Salleh) terkenal kerana kehandalannya mengadukan lembu.Mamat sebenarnya adalah seorang pemain politik.Politikus yang kalah dalam pilihanraya di sebuah daerah di Kelantan.Lalu, membina hidup yang baru bersama-sama keluarganya di selatan Thailand.Saat itu, bermulalah era baru dalam dunia Mamat.Dunia laga lembu.Pada suatu hari, kawan baiknya, Mat Lazim telah mati ditembak setelah pulang menyertai suatu pertandingan laga lembu.Mamat berazam untuk mencari dan menuntut bela di atas kematian kawan baiknya itu.

Komen:Khalid Salleh sememangnya seorang pelakon yang berkarisma.Berikanlah watak apa pun, pasti dia mampu melakonkannya dengan begitu baik.Lakonan mantapnya menghidupkan filem ini.Lakonannya benar-benar hidup.Watak Mamat sebagai seorang ketua keluarga, Ketua kepada kumpulannya dalam usaha menjejaki pembunuh Abang Lazim benar-benar dihayati.Ekspresi menerusi dialog, mimik muka menambahkan lagi karisma Khalid sebagai pelakon berbakat besar.Dari segi bahasa, filem ini memerlukan penghayatan kerana loghat Kelantan yang digunakan agak pekat bercampur aduk bersama dialek Patani.Menerusi filem ini, U-Wei cuba menyampaikan mesej bahawa para politikus yang berada dalam dunia politik sama seperti dua ekor lembu yang berlaga sesama sendiri demi mendapatkan keuntungan yang tak seberapa.Jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain.Itu adalah lumrah dalam dunia politik.Politikus juga digambarkan seperti lembu yang boleh dicucuk-cucuk hidungnya dan membiarkan sahaja diri mereka di guna dan menggunakan sesama sendiri demi kepentingan masing-masing.Lewat cerita, kita akan mengetahui siapa Jogho atau juara.Siapakah juara itu?Jogho adalah sebuah filem artistik.Filem yang benar-benar membuka minda kita menelusi falsafah politik dan kehidupan.Menggunakan watak lembu yang diadu, ia membuka ruang untuk penonton berfikir tentang kehidupan.Memetik kata Afdlin Shauki “Filem bukan sekadar medium untuk berhibur tetapi juga berfungsi sebagai alat untuk mendidik masyarakat”.Mungkin penonton kita bukanlah penonton yang sentiasa berfikir, tetapi sesekali meluangkan masa melihat filem sebegini akan membuatkan kita berfikir kembali tentang hidup yang kita jalani ini.Siapa tahu kan??

Part 1. Oktober 12, 2006

Posted by kamarul in Cerpen Bersiri.
3 comments

Ibrahim menjadi kaget.Dengan tidak semena-mena, rumahnya penuh dengan penduduk kampung yang datang berbondong-bondong ke rumahnya.Ibrahim mempercepatkan kayuhan.Perasaan ingin tahu menunjal-nunjal di pelusuk hatinya.Dari jauh kedengaran sayup-sayup bacaan Surah Yaasin dibawa angin petang ke pelusuk kampung.Ibrahim semakin tidak keruan.Hatinya di hambat dengan sejuta persoalan.Pak Walid telah sedia menantinya di beranda rumah.Ibrahim segera menuntun basikalnya melintasi beranda rumahnya yang kelihatan sesak dengan orang ramai.Pak Walid segera mendapatkan Ibrahim cuba untuk masuk melalui pintu dapur yang sedang sesak dengan orang kampung sedang mengikuti doa tahlil.Ibrahim bertambah hairan dengan keadaan di rumahnya.Seolah-olah seperti adanya pesta di rumahnya.

“Pak Walid, kenapa Orang kampung ramai sangat di rumah saya hari ni?”.Soal Ibrahim.Di wajahnya tertera perasaan kurang selesa dengan kehadiran orang kampung ke rumahnya tanpa alasan yang kukuh.Pak Walid diam membatu tanpa kalimat dibibirnya.Seolah-olah ada sesuatu yang tersangkut di halkumnya.Dia segera memandang Ibrahim yang tidak sabar-sabar menantikan patah-patah ayat keluar dari mulutnya.Di pandangnya anak muda yang berkulit sawo matang itu.Timbul pula perasaan simpati pada pemuda itu.Dalam usia yang terlalu mentah dia terpaksa menerima dugaan sebegini.Pak Walid masih ingat 2 tahun lepas, ibu Ibrahim Mak Siah telah menemui ajalnya dalam nahas jalan raya.Hari ini, bapa Ibrahim, Pak Sutan pula dijemput oleh Rabbul Jalil.Mampukah anak muda ini menghadapi ujian yang berat ini?Pak Walid berfikir sendirian.Dia harus memberitahu perkara yang sebenarnya.Dan mengharapkan agar anak muda di depannya tabah menerima kenyataan.

“Pak harap, Ibrahim dapat bersabar dan tenang ya?Semua ini takdir dan kita harus terima Ketentuan dariNYA.Ibrahim seperti dapat membaca sesuatu dari patah-patah perkataan yang keluar dari mulut Pak Walid.Sepantas kilat, dia berlari meninggalkan Pak Walid yang masih lagi terpinga-pinga dengan tindakan Ibrahim yang tidak diduga itu.Ibrahim berlari-lari ke laman rumah dan merempuh masuk mendapatkan mayat Pak Sutan yang terbaring kaku ditengah ruang tamu.

PERDANA MENTERI YANG SETERUSNYA Oktober 10, 2006

Posted by kamarul in EKSPRESI.
11 comments

Agak lama aku menyepikan diri dari menulis dalam blog ni.Bukan apa,masa yang ada agak terbatas.Tambahan pula, aku kini sibuk menyiapkan cerpen.Jadi memang tiada masa untuk menulis di blog sendiri.Aku pun tak punya topik untuk diperkatakan.Tapi cuma aku terfikir pasal kemelut politik dalam negara kita.Bekas Perdana Menteri,merangkap President PLF sendiri,Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri kelima Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi @ Dollah Konsert.Sebab dalam tahun ni sahaja banyak konsert dibenarkan.Jauh lebih banyak pada zaman Tun memerintah.Apapun, bukan itu soal utamanya.Soalnya, kemelut diantara kedua-dua pemimpin negara ini.Aku bukanlah pemerhati politik atau politikus yang hebat.Cuma melihat dari kacamata seorang rakyat biasa.Perang yang bermula dengan hebat telah pun beransur-ansur reda.Mungkinkah perang ini akan tamat?Perang akan terus berlaku sehinggalah pihak yang terlibat mendapat jawapan masing-masing.Persoalannya, jawatan Perdana Menteri itu seolah-olah suatu titik permulaan untuk mendapatkan kuasa yang total.Sebaik sahaja diisytihar Perdana Menteri,Beliau akan melantik Menteri-menteri kabinetnya yang terdiri daripada Pak lawak, Tukang karut, Tukang kipas yang akan bekerja bersama Perdana Menteri.Kebanyakan dari mereka ini bukanlah ikhlas utuk bergelar Menteri.Cuma inginkan pangkat,kontrak dan tender untuk diagihkan kepada pengampu-pengampu mereka.Akhirnya bermacam-macam masalah timbul akibat penyalahgunaan kuasa yang melampau.Penyalahgunaan kuasa oleh Perdana Menteri juga tidak terkecuali.3 tahun pertama bergelar Perdana Menteri, dia akan dicap sebagai Perdana Menteri paling telus.5 tahun selepas itu, ada suara-suara membangkang polisi kepimpinan mulai kedengaran.Cakap-cakap belakang,bahawa anak menantu semua dapat tender dan projek sudah kedengaran.Akhirnya selepas 10 tahun memegang jawatan PM,dia benar-benar korupsi.Lihat apa yang terjadi kepada Ferdinand Marcos.Presiden Filipina yang memerintah secara diktator dan korupsi akhirnya jatuh tersembam bila rakyat melakukan revolusi.kita paling sejenak pada Indonesia.Suharto yang memimpin Indonesia lebih dari 30 tahun juga tersungkur, bila mana rakyat mulai memberontak.Setelah menyedari, mereka ditipu dan di pergunakan.Sewajarnya, Malaysia menghadkan penggal pemerintahan bagi seseorang Perdana Menteri,seperti mana yang dilakukan oleh Jepun dan U.S.Setiap Presiden atau Perdana Menteri haruslah memerintah tidak lebih dari 2 penggal.ini adalah untuk menggelakkan “abuse of Power”.Memegang tugas Perdana Menteri bukanlah tugas yang mudah.Pemimpin adalah ‘Khadam’ kepada rakyat.Bekerja untuk kepentingan rakyat.Bukan bekerja bersama rakyat tetapi hasilnya nanti dinikmati oleh juak-juak atau suku-sakat sendiri.Khalifah Umar Al-Khattab dalam ucapannya semasa di bai’ah selaku pemimpin selepas Abu Bakar mengatakan “Sekiranya aku berbuat salah dalam masa aku memerintah tegurilah aku”.Bangun seorang lelaki yang berkata “Wahai Umar,kiranya kau silap, pedang ini akan meluruskannya”.Pengajarannya, menjadi tugas rakyat atau pembantu-pembantunya(Menteri Kabinet) untuk menegur kiranya ada kesilapan yang dilakukan oleh Perdana Menteri.Tapi hari ini, segala keputusan Perdana Menteri akan diangguk-angguk setuju oleh kabinetnnya.Seperti seekor kucing yang diepuk-tepuk manja kepalanya.Menteri-menteri yang ikhlas menjalankan kerja boleh dikira dengan jari.

Kesimpulannya,Sesiapa pun yang menjadi Perdana Menteri yang seterusnya akan mewarisi legasi peninggalan Perdana Menteri sebelumnya.Jadi, tidak hairanlah mengapa amalan-amalan korupsi dan salah guna kuasa sentiasa ada dan ianya semakin meningkat.Perdana Menteri baru akan mewarisi pimpinan, gaya dan polisi Perdana Menteri terdahulu, sebelum berfikir tuk berubah.Ibarat Seorang bomoh yang menurunkan ‘belaannya’ kepada perwarisnya.Dan belaan itu akan disimpan sehingga mati sebelum diturunkan kepada perwaris yang baru.Begitulah perihal Perdana Menteri di Malaysia.Seperti kata pemikir dan pengkaji politik yang menyatakan bahawa politik di Malaysia adalah paling unik di dunia.Unik kerana pengundi-pengundinya atau kerana sistem itu sendiri?Fikir-fikirkan lah.Semoga berjumpa lagi.