jump to navigation

SAASATUL IBAD (Pemain Politik) November 18, 2013

Posted by kamarul in Uncategorized.
add a comment

ImejSaasatul Ibad atau pelaku politik merupakan salah satu novel sejarah karya Faisal Tehrani.Sangat mengejutkan dan provokatif.Saasatul Ibad mengambil peristiwa pembunuhan Sultan Mahmud II yang digelar Marhum mangkat dijulang sebagai subjek penceritaan.Kisah bermula dengan kehadiran Dato’ Utama Mahadi dari Naning yang dipanggil oleh Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid bagi membimbing anak lelakinya,Abdul Jalil yang bakal mewarisi pentadbiran suatu hari nanti.Saasatul Ibad keseluruhannya bercerita tentang kebijaksanaan dan kehebatan dua pemain politik Melayu yang bersatu membangun dan membebaskan Johor daripada cengkaman Belanda.

Langit tidak selalu cerah.Sultan Mahmud Syah yang meningkat dewasa mulai memerintah Johor secara zalim dan kejam.Sehinggalah pembunuhan Siti Zainab,isteri kepada Laksamana Megat Seri Rama akibat seulas nangka.Peristiwa tersebut telah melahirkan Revolusi seluruh jajahan johor bangkit memberontak menolak kezaliman Sultan Mahmud Syah II.Ini telah mengakibatkan berakhirnya kesultanan Johor dari darah Melaka.Bendahara Abdul Jalil ditabal menjadi pemerintah baru.

Ternyata Saasatul Ibad mengungkap sisi sejarah yang tidak pernah dibangkitkan para sejarahwan tanahair.Sisi gelap Sultan Mahmud Syah yang dikatakan sebagai bernafsu songsang turut tidak terlepas.Isu pesetiaan antara raja dan rakyat terkubur melalui peristiwa pembunuhan Sultan Mahmud.Ini menolak kenyataan bahawa orang Melayu selamanya setia kepada pemerintah.

Revolusi ini dikatakan lebih awal daripada Revolusi Perancis yang diagung-agungkan barat.Perbezaan 100 tahun adalah jawapan bahawa orang Melayu ketika itu sudah berfikir luar daripada kotak pemikiran mereka yang jumud.Kesimpulannya,Saasatul Ibad bukan sekadar warkah Datuk Utama Mahadi kepada Sultan Abdul Jalil tetapi lebih kepada pembebasan akal dan budaya orang Melayu yang dalam berpolitik.

Saasatul Ibad..Novel yang harus dibaca dan diteliti bagi mereka yang berminat tentang politik dan budaya Melayu.Seperti Kata Faisal Tehrani.Selamat membaca dan jangan terkejut kerana saya sudah katakan banyak unsur kejutan di dalamnya. 

Pada suatu hari… September 6, 2013

Posted by kamarul in Uncategorized.
add a comment

Pada suatu hari beliau ke pasar membeli dua buah pelita. Satu adalah bagi kegunaan peribadi dan keluarganya manakala satu lagi adalah bagi kegunaan negara/ kerja-kerja berkaitan urusan negara. Pada setiap malam beliau memasang pelita kegunaan peribadi bagi membaca dan menulis. Apabila menjalankan urusan negara, baru beliau memasang pelita yang satu lagi. Sehingga ada satu kisah, pada satu malam, seorang jiran datang bertandang ke rumah beliau, dengan segera beliau memadamkan pelita yang sedang digunakan dan menyalakan pelita yang satu lagi.

Apabila ditanya oleh jirannya: “mengapa tuan padamkan pelita tadi dan menyalakan pelita yang lain”.

Jawab beliau “Pelita yang tadi kepunyaan kerajaan dan saya hanya gunakan apabila menjalankan urusan rasmi. Pelita yang baru dipasang ini kepunyaan peribadi dan keluargaku. Saya tidak boleh gunakan pelita kerajaan bagi urusan peribadiku”.

Dalam keriuhan dan kekecohan rakyat tentang kenaikan harga minyak yang berlaku minggu ini,saya teringat akan kisah Khalifah ini.Dalam beberapa hari ini kita juga dimomokkan dengan pelbagai penyelesaian bagi mengurangkan beban rakyat marhaen yang sentiasa terhimpit.Buatlah apa saja.Rakyat marhaen tetap akan tertindas.Sedangkan pemimpin bersenang-lenang di atas jawatan pemimpin.Merompak dan memanipulasi hak rakyat dengan bebas.

Entri ini bukan bercerita tentang kenaikan minyak.Entri ini cuba bercerita lebih dari itu.Cerita tentang nilai dan moral.Menjadi pemimpin bukan menjadi raja.Pemimpin dipilih oleh rakyat.Bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.Mungkin kerana itu,ramai yang berangan-angan untuk menjadi Yang Berhormat.Menjadi Yang Berhormat memungkin mereka menjadi jutawan segera sekelip mata.

Setelah berpuluh-puluh tahun memanipulasi dan kenyang, hari ini YB-YB cuba membetulkan keadaan.YB-YB sedia untuk dipotong elaun dan gaji demi membantu ekonomi negara.Satu tindakan yang baik.Tetapi ibarat Tikus membaiki labu.Kerosakan yang bertahun-tahun cuba dipulihkan.Apakah tindakan tersebut berjaya?

Menjadi wakil rakyat bukan tanggungjawab mudah.Wakil rakyat ertinya khadam kepada rakyat.Bukan khadam kroni.Kepada yang bermimpi menjadi YB,belajarlah dahulu daripada kisah Umar Abdul Aziz.

AO : Harap YB kaya dengan nilai adil dan zuhud.

Oktober 20, 2012

Posted by kamarul in EKSPRESI.
Tags: , , , , , ,
add a comment

Amat mengejutkan bahawa Presiden Mesir,Morsi dipercayai berutus surat kepada rakan sejawatnya di Israel.Tindakan yang amat memalukan bagi pemimpin sebuah negara islam.Apatah lagi,ia datangnya dari pemimpin gerakan islam Ikhwanul Muslimin.Organisasi yang pernah menyediakan mujahiddin berperang ketika penubuhan israel 1948.Hari ini,Morsi yang dipilih secara demokrasi (kononnya) melutut kepada israel.Tidak kah ini sesuatu yang melanggar prinsip ikhwanul muslimin yang sentiasa keras terhadap israel?

Revolusi Mesir yang dianggap sebagai kebangkitan islam mungkin tidak ada makna sekiranya dakwaan surat itu benar.kematian dan korban revolusi hanyalah mainan politik.Saya sendiri sangsi dengan Revolusi Mesir dari mula.Apakah benar revolusi rakyat atau transformasi politik bagi menyingkirkan orang suruhan yang terlalu lama memerintah.Boneka ini harus tumbang bagi mengabui mata rakyat.Kononnya ada revolusi berlaku.walhal ia cumalah politik.Kitaran ini berlaku di mana sahaja.

Perkara sebenar yang berlaku adalah Zionis Israel sedang cuba mengalihkan perhatian dunia.Mereka kini sedang menguasai Timur Tengah.Mengikut kepercayaan mereka,tanah yang bermula daripada Iraq hingga ke Palestin adalah milik mereka.Kini mereka sudah berjaya mendapatkan Iraq.Manakala yang lain akan diusahakan dengan cara mengacau politik dan ekonomi.

Personaliti Morsi yang dikatakan sebagai penghafal ayat quran terbongkar.Apakah kita umat islam berbangga dengan Arab Spring?ia adalah satu revolusi pegukuhan kepada kuasa israel di Timur tengah dalam keadaan tidak sedar.Hari ini tindakan Morsi banyak mengikuti kata dan arahan Israel.Semenanjung Sinai telah dibangunkan.Sedangkan sedarkah kita bahawa Sinai adalah kubu terakhir umat islam ketika berdepan yajuj dan makjuj nanti?Pembangunan Sinai adalah tidak lebih hanya arahan ‘bos’nya yang inginkan keuntungan.Rakyat Mesir hanya akan mendapat tempiasnya.Tetapi pihak tertentu akan mengaut keuntungan besar dari pembangunan Sinai.

Tindakan Morsi hanya meneruskan tradisi bahawa politik Mesir sebenarnya dikuasai oleh satu kuasa.Kuasa inilah juga yang mengaturkan politik dan survival politik dan ekonomi dunia.Apakah revolusi yang berlaku di Timur Tengah adalah satu proses kesedaran dan kematangan masyarakat arab tentang politik?atau ia adalah konspirasi terancang pihak Zionis?

Hari ini kuasa ekonomi dunia sudah terarah kepada China.US bukan lagi kuasa ekonomi dunia.Kita akan melihat China bakal menjadi kuasa besar dunia.Selepas itu siapa?Dalam beberapa tahun mendatang,Israel mungkin bakal menjadi pusat ekonomi dunia selepas China.Tidak mustahil berlaku.Beberapa petunjuk telah membuktikannya.Skrip sama berulang kembali.Perang dunia pertama melahirkan Negara Israel haram.Perang dunia kedua pula mengiktiraf yahudi dan membenarkan israel terlakar dalam peta dunia.Apakah revolusi arab adalah permainan yang cuba dicetuskan oleh zionis dalam usaha untuk membentuk atau merancang pelan bagi menguatkan pengaruh dan ketenteraannya di rantau arab?

Ternyata Revolusi Arab dan kemenangan Morsi cuma ilusi dan dominasi Israel dalam meneruskan cengkamannya ke atas Timur Tengah.Rasanya,kita tidaklah perlu berbangga sangat dengan revolusi arab.

Ps: Morsi pun pak turut israel ke?Welcome To The Club!Boleh kongsi bantal Hosni.

Saya cari yang boleh susah dengan saya Julai 12, 2012

Posted by kamarul in Uncategorized.
2 comments

10 April 2012 – Putrajaya Sentral 3.30 petang

“Abang dah tekad nak resign ke?”.Pandangannya tepat menusuk ke jantung.

“mmm…Tu yang sepatutnya.”Balas ku sambil tersenyum. Dia ikut tersenyum walaupun sukar. kami mendiamkan diri. menyusun kalimat dan baris ayat sesuai untuk dilafazkan.

“Kenapa sekarang?Bukan dulu?” Soal wanita kecil molek ini. Pandangannya kembali bertenaga menikam pandangan dan hati ku saat ini. Soalannya kini persis Pendakwa raya yang sedang membongkar bukti. dan tertuduh adalah aku sendiri. Aku terdiam. Memalingkan pandangan. Mencari kata-kata dan jawapan paling munasabah dan logik untuk soalan ‘Pendakwa raya’.

“Sayang…Saatnya sudah sampai. Ini jalan yang ditakdirkan, Aku mengumpulkan tenaga yang ada untuk berkata-kata.

Lagipun,inilah minat dan cita-cita abang dari dulu. Aku menyambung kata-kata ku. Saat ini dia hanya mendengar dengan teliti seperti seorang juri mendengar rumusan perbicaraan.

Abang cuma minat menulis.Abang cuma harap sayang faham cita-cita abang. Aku menutup bicara ku.

Dia terdiam.Tertunduk lesu. Rasa bersalah tiba-tiba menyelinap di dada ku. Melihat keadaan wanita yang aku sayangi dan cintai di dalam keadaan begitu. Aku biarkan dia berkeadaan begitu. Saat ini, kata-kata dan pujuk rayu tidak berguna lagi.

“Maksudnya, abang memang tak sayang saya kan?” ‘Pendakwa raya’ ini menerpa dengan soalan yang tidak dijangkakan.Sekali lagi aku terpaksa bertenang. Berfikiran waras mencari jawapan yang tepat. Memuaskan hatinya dan juga hati ku sendiri.

“Maksud sayang?”. Aku meminta kepastian tentang soalannya yang aku sudah aku jangkakan.

“Abang resign kerja, maknanya abang memang tak nak kahwin dengan saya. Saya terpaksa cakap dengan mak yang kita tak jadi kahwin. Dia menekup mukanya. Ada tangisan kecil kedengaran. Aku terdiam.

Apa lagi yang aku boleh katakan saat ini. Aku bertambah lelah setiap kali melihatkan dia menumpahkan airmatanya. Semacam drama.

Tapi tiada skrip mahu pun Tuan Pengarah. Kisah kami berdua disedari oleh beberapa orang penumpang dan petugas ERL. Mujur mereka tidak bertanya. Kalau tidak, aku akan di bawa ke balai atas tuduhan berkelakuan tidak baik terhadap wanita. Apa pun, aku sudah bersedia sekiranya itu berlaku. Aku telah susunkan kalimat-kalimat untuk mengelakkan aku menjadi banduan sehari.

Sekiranya ada yang menegur,aku akan katakan padanya

“Apa hal! Ini hal rumah tangga. Aku tak mintak tolong korang. Pergilah!”. Atau pun begini

“Tak ada apa-apa encik. Cik ni menangis sebab dia teringat arwah adik lelaki dia. sebab kening saya serupa macam arwah adik dia. Atau pilihan terakhirnya adalah seperti ini

“Apa hal ni? Pergi! Jangan nak sibuk hal orang. Buukk!Buukk! Baakk! Pergelutan terjadi. Aku dikejarkan ke hospital atau klinik berdekatan.

Jam semakin ke jam 4.15 petang. Tangisannya semakin reda. Dia sudah boleh mengawal emosinya. Aku yang tadi diam membisu. Melayan diri dengan I PAD. Membutakan mata dan memekakkan telinga dengan apa yang terjadi.

“Abang..ERL dah nak sampai ni. Dia mengingatkan aku. Aku diam. Aku senyum memandangnya.

“Abang tau. Jangan risau ok?”. Dia tersenyum. Wajahnya kembali ceria.

“Sayang..Maafkan abang kalau tindakan abang lukakan hati sayang.Abang mencari wanita yang faham dan boleh susah dengan abang.Bukan senang dengan abang. Itu saja”. Aku segera merapatinya. Dia tersenyum lagi.

“Mari lah..Saya hantarkan abang sampai ke kaunter tiket. Dah lewat ni”. Dia bersuara. Sampai sahaja di kaunter tiket,dia bersalaman dengan aku. Mengucup tangan ku.

“Baik-baik abang. Apa pun jadi, saya tetap dengan abang. Insyaallah”, dia berlalu.

Kami berpisah di tiket kaunter ERL. Menaiki keretapi elektrik terpantas di Malaysia menuju stesen Kuala Lumpur Sentral. Sepanjang perjalanan,aku berfikir sendirian. Apakah aku terlalu kejam.Mengorbankan impian orang lain demi cita-cita dan matlamat sendiri? Aku termangu sendirian.

Bunyi SMS mengejutkan aku. Aku pasti ini tentunya daripada rakan sekerja ku. Tentunya bertanyakan skrip yang masih lagi belum ku ketuk lagi.

Abang..Dalam umur-umur begini, abang perlukan kepuasan. Sayang faham. Sayang cuma nak abang gembira dengan apa yang abang buat. Sayang tau, abang memang akan kahwin dengan sayang. Sayang tunggu.Sebab sayang dapat rasa yang abang memang ditakdirkan untuk sayang insyaallah! Sebab saya akan sentiasa ingat ayat ni. Saya cari yang boleh susah dengan saya.

Aku terpana.Aku meneliti bait-bait sms tersebut dengan pandangan berkaca. Ada rasa yang payah di gambarkan dengan kata-kata. Hanya DIA maha agung yang mengetahuinya. Aku tahu inilah cinta. Memahami dan sentiasa bersama walau apa pun yang berlaku. Mungkin, ini adalah secebis ujian buat aku dan dia.Tapi rasa percaya dan yakin antara satu sama lain adalah kunci kepada cinta. Aku hanya mampu berdoa agar kami sentiasa diberi kekuatan hati dan iman.

Ps: Si dia suka sangat dengan lagu XPDC ‘Cinta Kenangan Silam’.Aku kata kan padanya sebab lagu tu aku mula mengeja dan membaca dengan betul.Hahaha!

 

 

Barangkali… Mei 29, 2011

Posted by kamarul in EKSPRESI, Uncategorized.
2 comments

Barangkali kita harus akur bahawa kita sudah ke penghujung

Barangkali harus berfikir bahawa jalan tidak lagi sehaluan

Barangkali ada cerita yang mungkin tak disudahkan

Mungkin cerita itu hanya DIA yang mengerti

Barangkali aku hanya menunggu lagi

Menunggu sebuah kisah.Kisah yang tak pernah sama.

Jeda kehidupan sentiasa berubah.Aku akan terus berjuang..

Berjuang mencari RedhaNYA dalam hidup

Dan sehingga akhirnya.

Strauss-Kahn :Mangsa Konspirator Terancang Mei 29, 2011

Posted by kamarul in EKSPRESI.
1 comment so far

Globalization has delivered a lot . . . but it also has a dark side, a large and growing chasm between the rich and the poor.

‘Clearly we need a new form of globalization’ to prevent the ‘invisible hand’ of loosely regulated markets from becoming ‘an invisible fist.'”

Itu adalah ucapan Strauss-Kahn dalam ucapannya di Universiti Washington. seminggu selepas itu..Dia telah ditangkap dan didakwa atas tuduhan serangan seksual terhadap pelayan hotel di New York.Tragis bukan? Tapi ini realitinya.IMF adalah satu insitusi kewangan dunia yang mulai popular ketika krisis matawang di Asia sekitar 1997.IMF memberi bantuan dana kepada negara yang terjejas teruk. kini IMF yang diumpamakan lintah darat, menguasai ekonomi dunia.

Strauss tentu menyedari dalang-dalang di sebalik tabir yang menerajui IMF sebenarnya. paling utama kehancuran yang di bawa oleh konsep globalisasi.Mengapa Strauss menyebut Invisible Hand atau tangan-tangan gelap dalam ucapannya?Atau Strauss punya strategi tersendiri dalam memperbaiki ekonomi dunia yang kian tenat?

Disebabkan reformasi yang cuba dibawa Strauss ke dalam IMF,maka ‘tangan-tangan’ ghaib ini berasa tidak senang.Strauss dianggap pengacau di dalam perancangan yang telah lama dirancang.Maka satu tindakan drastik perlu dilakukan oleh mereka untuk menghancurkan Strauss. sama ada dari segi imej dan kerjayanya.Strauss harus dihancurkan.

kesimpulannya,ekonomi dunia kian tenat.Perancangan ‘the hidden hands sudah sampai kemuncaknya.NWO (New World Order) telah pun terlaksana.Mereka hanya menunggu masa untuk melihat dunia hancur.

Perpaduan Melayu : Keperluan Atau Retorik? Mei 9, 2011

Posted by kamarul in EKSPRESI.
add a comment

Suara perpaduan Melayu semakin kuat bergema. Semakin hari isu ini menjadi makanan utama media akhbar dan elektronik. UMNO, parti Melayu yang berkuasa hampir 60 tahun memalu gendang meminta seterunya PAS,sebuah parti islam tertua di Malaysia untuk mara. Menghulurkan salam muafakat. Namun PAS tekad untuk tidak menghulur salam tersebut. Mungkin tribulasi yang dialami tahun 1976 membuatkan PAS lebih berhati-hati untuk menyambut salam kali ini. Ironinya,UMNO beria-ia mencanangkan perlunya perpaduan Melayu. Sedangkan selama ini,UMNO mendabik dada mengatakan bahawa mereka adalah juara orang Melayu. Bukan itu sahaja,merekajuga bangga di gelar sebagai pembela Islam.PAS pula sememangnya dominan dengan status sebagai sebuah parti islam. Sudah tentu,majoriti pendokongnya adalah terdiri daripada bangsa Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Hari ini untuk meneruskan kelangsungan parti masing-masing membuat percaturan.UMNO seperti yang diketahui telah lama bergandingan dengan MCA dan MIC untuk membentuk sokongan bagi sebuah kerajaan. Manakala PAS pula menyusul pada tahun 1999, bergabung dengan DAP,sebuah parti yang tidak inginkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam (Adakah motonya tetap sama hingga kini?). sebenarnya, apa yang penting di sini adalah Islam. Perpaduan Melayu tidak pernah timbul sedikit pun.

Persoalannya,adakah perpaduan yang diwarwarkan itu mampu membentuk dan mempertahankan islam sebagai anutan masyarakat Melayu?Lebih daripada itu,adakah perpaduan ini mampu menjadikan Islam sebagai Ad Din masyarakat Melayu? Kita kembali kepada sejarah kedua-dua parti.UMNO, parti ulung Melayu yang menjadikan Islam sebagai tunjang kekuatan telah bertakhta lama di Malaysia. Di perkuatkan lagi oleh MCA dan MIC sebagai sokongan. Lebih 60 tahun,UMNO menawan hati penyokong-penyokong Melayu. Selama itu juga,UMNO gagal menjalankan misinya iaitu menjadikan Islam sebagai cara hidup. Apa yang lebih parah adalah UMNO sendiri gagal menjalankan tanggungjawabnya untuk menerangkan tentang islam kepada rakan-rakan seperti MCA dan MIC. Apa yang menyedihkan lagi UMNO kini diancam kepupusan lantaran sikap segelintir ahlinya yang menjadikan UMNO sebagai insitusi mengaut keuntungan. Sedikit demi sedikit UMNO mulai lemah. Kini rakan-rakannya MCA dan MIC mula memikirkan haluan masing-masing. UMNO yang terancam mula memikirkan taktik untuk mengekalkan dominasinya sebagai parti ultra Melayu. Perpaduannya dengan PAS mampu menyelamatkan maruah dan survivalnya.

PAS pada awal kemunculannya bersifat radikal. Pegangannya terhadap islam menyebabkan parti ini sukar menembusi pengundi bukan Melayu. Namun,segala-galanya berubah pada dekad 90 an. Kekalahan demi kekalahan menyebabkan PAS mula memikirkan perlunya penggabungan. Bersama PKR,DAP. PAS membentuk pakatan baru demi menawan Malaysia. Tidak dinafikan bahawa penggabungan tersebut menjadikan PAS lebih mantap dan sukar dikalahkan. Namun,sejauhmanakah PAS mampu membawa agenda islam yang diperjuangkannya?Atau PAS akan menerima nasib seperti UMNO?Ditinggalkan kerana berlainan ideologi.

UMNO telah membuktikan bahawa kegagalannya menterjemahkan Islam,menjadikan mereka seperti hari ini. PAS pula masih lagi berkawad untuk ke Putrajaya. Sekiranya PAS ditakdirkan memerintah,adakah mereka mampu menjadikan Islam sebagai Ad Din?seperti yang dicanangkan mereka?Atau PAS Cuma bayangan UMNO pada awal kemunculan yang bersungguh-sungguh membela Islam.Tapi penghujungnya gagal? Ditakuti begitu.Silap UMNO hanyalah kerana terlalu lama mendapat mandat dari rakyat. Ibarat orang tua yang diberi kuasa. Tapi tidak lagi mampu kerana deritai pelbagai penyakit. Itulah UMNO.PAS pula ibarat lelaki tua yang sedang mencari-cari jalan.Silap jalan ditakuti sesat.

Akhir sekali,UMNO hanya menjadikan alasan perpaduan sebagai Survival parti yang sedang tenat. Manakala PAS pula sedang melangkah ke hadapan.Tapi paling penting apakah PAS mampu menjadi parti sebaik UMNO. Atau satu lagi parti yang sentiasa berfalasafah tentang Islam?

Merong Mahawangsa:Dari Manuskrip ke sebuah filem Mac 12, 2011

Posted by kamarul in Filem.
1 comment so far

Hikayat Merong Mahawangsa,sebuah naskah tertua yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai khazanah bernilai negara kini diadaptasi ke sebuah filem.Syabas kepada trio adik-beradik KRU yang berusaha untuk merealisasikannya sebagai sebuah filem.Bukan mudah untuk mengangkat naskah agung yang sarat dengan mitos dan sakral menjadi sebuah filem yang bernilai komersial.Tetapi itu adalah usaha paling berani selepas Puteri Gunung Ledang.Agak teruja menantikan filem epik ini.Apa tidaknya,trailer serta komen-komen positif oleh media sebelum tayangan menguatkan rasa ghairah untuk melihat filem epik ini.

Hikayat Merong Mahawangsa di tangan Yusry Abd Halim bersama Hafizi Amir bolehlah dikatakan sebagai rumusan atau kependekan kepada naskah agung tersebut.Mana mungkin untuk membuat kisah tersebut seperti tercatat pada naskah yang berjela-jela dan sarat dengan kisah-kisah rajanya.Namun,aspek lakon layar kurang diberi perhatian.Watak Merong Mahawangsa agak kaku.Sebagai watak utama yang diangkat,sewajarnya diangkat dengan baik dari sudut perwatakannya.Stephen Rahman Hughes agak kaku.Ada masanya,seolah-olah melihat dia seperti Jeneral Maximus dalam filem Gladiator.Watak Merong Mahawangsa tidak dilukiskan dengan baik oleh Yusry dan Hafizi.Hakikatnya,Merong Mahawangsa punya peranan besar dalam pengasasan negeri Kedah sekitar abad ke 6.

Sebagai Putera Raja berdarah Iskandar Zulkarnaian,Raja agung dalam sejarah dunia,Merong digambarkan sebagai penggembara yang tiada tujuan.Sentiasa berada di pelabuhan-pelabuhan terkenal pada waktu itu.Sentiasa ditangkap kerana melakukan kesalahan.Mungkin mengusik atau bermukah dengan golongan bangsawan.Agak menghairankan kita bila putera raja berdarah penakluk agung dunia digambarkan sedemikian.banyak caranya untuk menunjukkan keperwiraan Merong.Mungkin penulis skrip cuba menunjukkan perkembangan watak.Kita boleh katakan from zero to hero.Tapi saya rasakan kaedah itu tidak sesuai kepada Merong kerana dia memang telah dikenali sebagai keturunan Raja yang besar.Kisah hidupnya juga agak kabur.Dalam adegan ketika perjalanan ke Langkasuka untuk bertemu puteri China,dia menyatakan bahawa dia berasal dari Tanah Melayu daripada sebelah ibunya iaitu Lang.Dia juga tidak mengetahui kisah semasa kecil sedangkan selepas itu,ditunjukkan adegan imbas kembali semasa kecilnya.Jalan ceritanya agak lompong.Sewajarnya kekosongan ini ditampung dengan baik.

Kalau diberi pilihan,saya berasakan bahawa isi dan jalan cerita Puteri Gunung Ledang lebih baik.Mungkin kerana terlalu memikirkan komersial.Yusry dan hafizi terlupa tentang jalan cerita.bagi saya Merong Mahawangsa mungkin boleh menjadi lebih baik daripada Puteri gunung Ledang,seandainya digarap dengan baik.Dari sudut nilai Melayu,saya rasakan ia tidak ada.terasa seperti melihat filem Melayu yang bercitarasa Thailand.Banyak yang ingin diperkatakan di sini.Tapi cukuplah sampai sini.Saya bukanlah pembikin filem mahupun drama.Cuma menyampaikan pandangan ikhlas.

Hikayat Merong Mahawangsa adalah naskah yang mencerminkan budaya,adat dan sejarah orang Melayu sebelum kedatangan islam.Sewajarnya,Hikayat Merong Mahawangsa diangkat dan digarap dengan nilai-nilai Melayu.Kita jarang mendapat peluang untuk membikin filem sebegini.Harus diingat filem sebegini adalah satu medium catatan sejarah terbaik selepas buku-buku.Jadi,ia harus selari dengan sejarah.Kiranya terpesong,tidaklah harus melampau.Kita harus berfikir bahawa 100 tahun dari sekarang,filem-filem sebegini akan menjadi rujukan kepada generasi akan datang dalam mengetahui asal-usul bangsa.

Apa pun,syabas buat KRU yang berani dan cekal dalam mengangkat Hikayat ini.Semoga bakal ada lagi mereka yang akan berani selepas ini.

Bidadari Mac 8, 2011

Posted by kamarul in EKSPRESI.
2 comments

sekadar hiasan Aku sedang menanti kamu wahai sang bidadari.Kerap kali aku lemparkan pandangan ku ke muka waktu.Hanya untuk menanti diri mu.Ada masanya aku buntu untuk memikirkan kamu.Walau ke mana aku melangkah hanya diri mu yang sentiasa di minda.Aku tak kan mampu untuk mengungkapkan rasa cinta pada mu.Cinta itu harus lahir dari hati yang kudus.Biar aku senyapkan rasa cinta yang menjalar di hati.Biar aku lenyapkan resah ini. Biar aku bisukan bisikan cinta yang mendesah-desah.Biarkan segala-galanya pergi dan hilang.

Biar aku diam.agar kau bahagia.Aku senang melihat kau berbahagia wahai bidadari ku.Semoga jodoh akan memihak pada ku.Biar aku sarungkan keronsang cinta disulami mutiara tulus sebagai perhiasan buat mu.Izinkan aku wahai bidadari…

“Aku akan diam,hingga waktu berbicara.”

Jalan 30 Februari 20, 2011

Posted by kamarul in Uncategorized.
2 comments

Hujan tak pernah turun di jalan ini.

Jalan yang kering dan tandus.

Setiap hari,aku lewatinya.Berjalan dengan hati yang mangkal

Lorong yang bersimpang-siur buat aku keliru

Di jalan ini…tak pernah wujud rasa cinta.

Tak pernah wujud rasa sayang

Aku mencari rasa itu.

Aku mencari Pencipta rasa tersebut

DIA melihat dan merancang

agar jalan ini tetap akan mengikut kehendakNYA

Biar aku berjalan dengan izinNYA

Biar aku mencari erti hidup dan cinta NYa.

Pasti nanti jalan ini akan menemui penghujungnya.

Penghujung jalan kepada NYA.